Friday, October 30, 2009

Semester 1:Kuiz dan Peperiksaan

Assalamualaikum..

Pada minggu hadapan, pensyarah akan memberi kuiz. Kuiz dimulakan pada hari Selasa, bersambung pada hari Rabu dan Khamis. Tentu sekali meletihkan bila membiarkan otak 'bersukan' selama tiga hari berturut-turut.

Pada 17 November, peperiksaan akhir semester menjelang. Ayuh, berjuang hingga ke titisan darah A, B, AB dan O yang terakhir!

Lampiran
(Sila klik pada gambar untuk melihat gambar yang lebih jelas)

Jadual Kelas Harian



Exemption/ Transfer Credit



Saturday, October 10, 2009

Mata Perlukan Cermin untuk Melihat

Assalamualaikum

Sudah hampir dua minggu aku pendamkan hasrat untuk kembali mengarang. Namun, aku terperangkap dalam keterbatasan waktu. Kali ini, aku luangkan sedikit waktu menyusun kata yang tidak seindah mana.

Sejak belakangan ini, aku merasakan cermin mataku tidak lagi berfungsi dengan baik. Bila aku pakai, pandanganku tidak begitu jelas, tapi bila aku tanggalkan cermin mata itu pandanganku lebih jelas! Berkali-kali aku cuba membersihkannya, namun hasilnya tetap sama. Aku membelek cermin mata itu. Ada kesan calar rupanya.

Aku bercadang mahu membeli cermin mata baru. Bila mengenangkan ayah sudah banyak keluarkan duit untuk perbelanjaan harian aku dan adik-beradik, keinginan itu mati di situ saja.

Aku cuba bertahan memakai cermin mata yang lama. Lama-kelamaan, aku semakin berasa kurang selesa. Akhirnya, mata aku dibiarkan bebas tanpa cermin mata. Kesannya, mataku cepat letih dan mula rasa pening.

Akhirnya, aku nekad membuat cermin mata baru. Aku gunakan saja wang simpananku sejak memulakan pengajian, dicampur pula dengan duit raya. Syukur, Allah permudahkan jalanku. Kebetulan sepupuku, Alieya juga ingin menukar cermin mata baru. Jadi, tidaklah aku membebankan bapa saudara untuk membawa aku ke Kajang semata-mata menguruskan hal aku seorang.

Sebelum ke kedai cermin mata, kami singgah di kedai membaiki kereta. Aku tinggal berdua dengan Alieya di dalam kereta.

Tiba-tiba, kedengaran satu dentuman yang kuat. Aku berpaling ke arah belakang.

"lahaulawalaquataillahbillah"

Rupa-rupanya, ada satu kemalangan yang baru saja berlaku. Kemalangan itu melibatkan seorang penunggang motosikal dan sebuah kereta nasional.

Kejadian berlaku apabila kereta itu membuat pusingan U di atas jambatan. Aku sendiri hairan dengan tindakan berani pemandu itu. Aku dapati, kawasan itu tidak selamat untuk membuat pusingan U. Malah, laluan untuk membuat pusingan U sudah disediakan.

Aku bersimpati dengan nasib penunggang motosikal itu. Sebaik jatuh dari motor, penunggang motosikal itu langsung tidak berupaya untuk bangun. Kakinya tercedera. Dia hanya terbaring di atas jalan. Aku sudah cemas. Bimbang kalau ada kenderaan lain memandu laju dan tidak sempat menekan brek.

Tidak berapa lama kemudian, ada kenderaan yang berhenti menghulurkan bantuan. Tiga orang lelaki mengangkat mangsa ke tepi jalan. Beberapa penunggang motosikal lagi berhenti di tepi jalan dan memberi sokongan kepada mangsa tidak mengira bangsa. Aku sungguh terharu melihat betapa rakyat Malaysia prihatin terhadap mangsa kemalangan.

Kira-kira 15 minit kemudian, ambulans tiba untuk membawa mangsa ke hospital.

Semoga titipan kisah menjadi iktibar kepada pengguna jalan raya. Jadilah pemandu yang berhemah dan mematuhi undang-undang jalan raya. Kepada mangsa kemalangan tersebut, saya mendoakan semoga anda cepat sembuh.

Penatnya jalan-jalan


Tetap tersenyum walaupun keletihan


Thursday, October 01, 2009

Kami Juga Merasai Gegaran itu

Assalamualaikum..

Petang semalam, aku dan teman-teman mengalami suatu insiden yang mencemaskan. Pada waktu itu, aku sedang menelaah pelajaran. Teman serumah serumah asyik bercerita tentang seorang penyanyi nasyid kegemaranku, lalu aku berhenti seketika dan aku pun tumpang sekaki! Begitu tekun aku mendengar kisah yang teman serumah, Deqya sampaikan.

Tiba-tiba, teman sebilikku Ila bersuara.

“Kejap!”

“Kau orang ada rasa gegaran tak?”

Aku bingkas bangun. Aku cuba mengamati kondisi lantai dan kali ini aku sendiri dapat merasai gegaran itu!

Wanie yang sedang tidur, tiba-tiba terjaga. Katilnya bergoncang disangka ada teman yang ingin bercanda.

“Air milo di atas lantai pun berkocak!”

Aku membayangkan kalau aparment tujuh tingkat ini runtuh. Masihkah sempat aku menyelamatkan diri? Mahu juga menggeletar tubuhku.

Kami jadi panik. Akhirnya, kami membuat keputusan untuk keluar dari rumah.

Malangnya, teman sebilikku Ecah pula sedang bersolat, terpaksa ditinggalkan sementara kami mahu memanggil jiran.

Kami ketuk pintu rumah jiran. Jiran rumah sebelah tidak menyahut, cuma jiran rumah hadapan yang membuka pintu. Kami bertanya apakah mereka juga merasai gegaran itu. Memang ada.

Pada firasat mereka, gegaran itu berlaku kerana ada projek pembinaan. Jadi, kami tidak jadi turun ke bawah. Tambahan pula, tiada lagi terasa gegaran itu.

Teman serumahku, Aishah menceritakan detik mencemaskan itu kepada ibunya. Ibunya menceritakan berita dunia langsung menjawab persoalan kami.

Barulah kami tahu, gempa bumi sedang berlaku di Padang, Sumatera pada petang itu dan itulah punca gegaran itu. Gegaran itu terasa mungkin kerana rumahku di tingkat enam. Aku bersyukur tiada perkara buruk berlaku di sini. Semoga dilindungi Allah setiap detik.
 
Spektrum Cinta © 2008 ♥ Template by B.K