Wednesday, September 23, 2009

Hari Lebaran 1430H



Assalamualaikum..

Jari membilang hari. Sudah empat hari Syawal menjengah. Syukur masih berkesempatan meraikan hari kemenangan ini bersama keluarga tercinta, cuma ayah belum sempat aku temui. Tuntutan kerja menyebabkan ayah tidak dapat pulang beraya di sini.

Saban tahun aku setia mengimarahkan Masjid Sultan Azlan Shah pada pagi lebaran. Bagaikan ada magnet yang kuat menarik aku ke sana itu setiap kali menjelang Aidilfitri. Lambaian takbir merantai sukma, ditambah pula penyampaian khutbah selepas solat sunat yang terkesan di hati. Aku tekun meniti bait kata-kata yang penuh hikmah dan teguran berlapik, aku sukakan cara seperti itu!

Usai solat, aku dan ahli keluarga bertolak ke kampung di Batu Gajah. Sanak saudara sudah menanti di teratak nenda. Tiba masanya untuk bermesra bersama sepupu. Masing-masing bertukar cerita, maklumlah sudah lama tak bersua. Selain itu, dapatlah aku bermain dengan anak-anak buah yang semakin besar. Makin bijak juga!

Usah diperkatakan tentang juadah pada hari itu. Aku makan sepuasnya. Lemang tak sanggup aku tinggalkan, alasanku mudah. Nasi himpit boleh juga dimakan bersama sate, tapi lemang? Aku juga menikmati laksa di rumah bapa saudara, Ayah Cho. Aku makan banyak sekali, memang tak sayang perut!

Puteri dan Darwish

Najmuddin nak azan agaknya

Kemudian, aku beraya di kampung sebelah ayah pula. Rumah opah di Batu Gajah tidak jauh dari rumah opah di Kg Meranti Lapan. Perjalanan mengambil masa 15 minit sahaja. Kelebihannya, aku dapat beraya di dua kampung dalam satu hari. Sempat juga beraya di rumah ibu saudara, Mak Ngah. Sekali lagi aku menjamah laksa. Makanan kegemaran boleh diulang berkali-kali, itu pasti.

Sudah menjadi kelaziman pada hari raya kedua, aku dan saudara mara berkunjung ke rumah adik opahku, Opah Su di Bagan Serai. Hidangan wajib tentulah sambal udang yang menjadi kegemaranku. Sampai tak sedar, aku telah mengambil udang dalam kuantiti yang banyak. Alamak!

Gendang gendut tali kecapi, kenyang perut senang hati


Bapa saudara merangkap bodyguard Ummi

Pada hari raya ketiga, aku kembali ke Batu Gajah. Ummi mahu menikmati Mee Kari hasil air tangan Kak Yong. Aku menurut ummi saja. Bagai tak cukup perut aku makan mee kari dan laksa. Masakan Kak Yong yang memikat selera menyebabkan aku berkali-kali menambah.

Hari ini, keluarga aku membuat rumah terbuka untuk sanak saudara sebelah ummi. Menu kami pada hari ini ialah mee kari dan mee sup. Masakan ummi memang tiada tandingannya. Aku makan banyak lagi, tak kisahlah. Selagi punya selera, jangan takut untuk makan!


Sunday, September 06, 2009

Sambutan Ulang Tahun Kali Kedua




Hadiah daripada Cikza



Assalamualaikum..

Hari ini merupakan sambutan kali kedua ulangtahun yang ke-20 buat aku dan kembar. Alhamdulillah, terima kasih yang tak terhingga buat Achik dan Cikza yang sudi meraikan kami di sini serta memberi hadiah yang sangat comel itu. Kenangan yang terlakar ini takkan terpadam bersama arus masa. Kami benar-benar bahagia!

Indahnya Ramadhan Bersama Keluarga

Assalamualaikum..

Aku sering terkenangkan Irfan yang sudah lama tak ku temui. Makin lama rindu dipendam, makin membara api kerinduan ini. Lalu aku membuat keputusan untuk ke rumah bapa saudara, Achik.

Aku mencari akal untuk mencari pengangkutan ke Putrajaya. Mahu meminta Achik ambil di asrama, aku segan. Segan kerana sudah banyak kali menyusahkan Achik. Kalau mahu pulang sendirian, aku tak mampu. Bandar Kuala Lumpur masih baru padaku.

Selagi ada rezeki, takkan ia hilang ke mana. Mujur ada Wahida yang sudi pulang bersama. Oleh sebab aku tiada kelas pada hari Jumaat, aku dan Wahida merancang untuk pulang pada hari itu saja.Kami memulakan perjalanan dari asrama ke SOGO. Seterusnya, aku menaiki komuter di Bank Negara terus ke Serdang dan kami berpecah di Serdang. Aku mengambil bas bernombor 42 yang menjuju ke Putrajaya Sentral dan Wahida mengambil bas lain. Aku dapat berjimat dengan cara ini kerana tambang perjalanan hanya RM5.80!

Opah, Opah Cik dan adik bongsuku mampir ke rumah Achik semalam atas urusan keluarga. Kedatangan mereka ke sini dihantar oleh bapa saudara, Chu sekeluarga. Aku bukan saja dapat bertemu Irfan, malah dapat bermain bersama sepupu yang masih bayi juga, Balqis. Hari itu benar-benar membuatkan aku teruja! Hati aku pun berbunga.

Tak putus-putus aku bersyukur sepanjang berada di sini. Aku dapat berbuka puasa bersama ahli keluarga. Kemeriahan itu tiada tandingannya. Bagai tertunai hajat aku mahu makan nasi ayam dan laksa. Keinginan yang aku pendam selama berada di asrama.

Aku bahagia dapat menghabiskan masa dengan Irfan dan Alieya. Wajah mereka yang mulus sentiasa indah di mata. Alieya sudah ada perkembangan positif. Malah tak pernah lagi meninggalkan puasa tanpa alasan munasabah.

Irfan pula sudah pandai berjalan. Setiap langkah yang tercipta terlalu indah. Irfan juga gemar ketawa dan aku terpukau mendengar gelak tawanya yang manja serta Irfan gemar berkata-kata. Barangkali Irfan bakal menjadi kanak-kanak yang petah berbicara.

Esok, aku perlu bergegas ke asrama. Mujur kelas bermula pada 11.45am. Terpaksa sampai ke asrama sebelum pukul 10am atau aku akan ketinggalan bas yang disediakan oleh pihak asrama. Achik dan Cikza, terima kasih daun keladi. Ada juga kesempatan menumpang kasih di sini, terubat juga kerinduan pada keluarga yang jauh di mata.

Saturday, September 05, 2009

Model Almari Pakaian


Kita mulakan satu, dua, tiga!

Mencuba untuk bangun sendiri

Berjaya!

Posing sikit
dan lagi.. oh sempurna!

Thursday, September 03, 2009

Semester Satu

Assalamualaikum..

Aku sudah membuat pendaftaran subjek secara online untuk semester dua semalam. Sengaja aku semak semula subjek bagi semester satu. Alangkah terkejutnya aku kerana hanya ada satu subjek yang didaftarkan oleh pihak kolej untuk semester satu!

Aku mula panik. Mengapa pula ada satu subjek sahaja? Sedangkan pada jadual tercatat dua subjek yang aku perlu ambil. Teman sekelas semuanya tercatat dua subjek di dalam online system. Aku bertambah gelisah. Bimbang aku perlu mengambil subjek itu pada semester dua.

Aku membuat keputusan untuk ke ACAD untuk mendapatkan kepastian.

"Adik tak perlu ambil Intermediate English I. Masuk semester dua, adik terus ambil Intermediate English II."

Aku benar-benar terkejut mendengarnya. Kata staf ACAD itu, pemilihan dibuat berdasarkan ujian Bahasa Inggeris yang diambil oleh setiap pelajar baru. Apa yang aku tahu, kalau penguasaan Bahasa Inggeris masih lemah, pelajar itu perlu mengambil English for Beginners. Selebihnya, akan masuk ke dalam kelas Intermediate English I.. dan bagi kes aku, baru pertama kali aku mendengarnya!

Ini bermakna, aku hanya perlu mengambil subjek Introduction to History and Philosophy of Early Childhood Education bagi semester satu. Aku sudah memulakan kelas kedua dengan Madam Puteri. Alhamdulillah, aku senang dengan cara penyampaian pensyarah itu. Bilangan pelajar kelas aku hanya seramai 11 orang, majoritinya pelajar perempuan dan hanya ada seorang pelajar lelaki.

Tadi, aku mengambil study plan. Setelah menelitinya, aku membuat keputusan untuk menukar subjek yang telah didaftarkan bagi semester dua. Menurut senior, subjek yang aku pilih bersama rakan sekelas sangat mencabar. Mereka tak menggalakkan kami mengambil subjek yang terlalu susah bagi semester dua. Jadi, aku ikut sahaja study plan yang pihak kolej sediakan.

Memandangkan pelajar ambilan 9 Ogos antara kelompok pelajar yang mendaftar lewat, kelas yang kosong tak banyak. Pening juga mahu menyusun jadual. Tambahan lagi aku mahu mendaftar bersama lagi tiga orang rakan sekelas. Memang benar kata guru matematik aku dulu. Waktu belajar mesti ada empat sekawan. Aku tak pernah lupakan kata-kata itu.

Esok aku tiada kelas. Mahu ke Putrajaya nan Indah. Rindu Irfan.

Wednesday, September 02, 2009

Nak Balik Perlu Tahu Jalan

Assalamualaikum..

Rindu kembali bertaut. Aku selalu terkenangkan Irfan yang dikatakan "Paling Termanja" oleh pengasuhnya di naseri. Kata hati mendesak aku pulang ke rumah bapa saudara. Namun, aku masih belum pernah menaiki LRT dan ERL berseorangan. Takut salah naik. Mujur aku ada seorang teman yang tinggal di Serdang. Serdang tidak jauh dari Putrajaya. Jadi, kami boleh pulang bersama.

Hari ini, aku baru memulakan semester satu. Hanya dua subjek pihak kolej daftarkan untuk semester ini. Aku juga sudah mendaftar kursus untuk semester kedua pada hari ini. Tidak sempat mengambil study plan. Pening juga menyusun jadual sendiri. Aku memilih kelas pagi sepenuhnya pada hari Isnin dan Khamis. Pada hari Selasa dan Khamis, aku memilih kelas petang. Aku hanya peruntukkan usrah pada hari Jumaat.

Aku harap jadual yang telah aku susun tidak membebankan. Mohon Allah permudahkan urusan Hamba-Nya ini.
 
Spektrum Cinta © 2008 ♥ Template by B.K