Monday, August 31, 2009

Ulang Tahun ke-20

Assalamualaikum..

Tanggal 31, bulan 8, 1989..

Pada pagi sambutan kemerdekaan ke-32, Ummi sudah ada tanda-tanda mahu bersalin. Lalu Ummi dimasukkan ke Ipoh Specialist Centre. Pada pukul 2.57pm lahirlah seorang bayi perempuan yang comel. Namun, kesakitan yang Ummi rasai belum lagi berakhir. Ummi terpaksa bertarung nyawa demi seorang lagi bayinya. Bayi itu dibetulkan kedudukannya terlebih dahulu. Kira-kira pukul 3.05pm, bayi perempuan kedua itu selamat dilahirkan walaupun kelahiran itu merupakan kelahiran songsang.. dan bayi itu adalah aku sendiri!

Itulah serba sedikit kisah kelahiranku. Ku panjatkan syukur ke hadrat Ilahi yang memberi kesempatan untuk aku bernafas di bumi Maha Pencipta ini. Terima kasih yang tak terhingga kepada Ummi yang telah menyabung nyawa demi melahirkanku. Akan ku balas jasamu Ummi.

Tanggal 31, bulan 8, 2009..

Aku dan kakak kembarku, Aishah sudah menginjak dewasa. Kami sudah memasuki dunia wanita dua puluh-an. Perasaan sedih menyelubungi diri. Entah mengapa perlu wujud perasaan itu. Adakah aku belum bersedia berubah menjadi lebih matang? Aku sendiri tidak pasti.

Sambutan ulang tahun kami pada tahun ini ala kadar sahaja. Memandangkan aku dan Ummi sudah menolak pelawaan opah yang mahu kami berbuka puasa di rumahnya semalam, kami membuat keputusan untuk menyambut ulang tahun di rumah opah sahaja. Menyambut ulang tahun pada bulan Ramadhan tentu sekali berbeza. Kami hanya makan lauk berbuka puasa. Tiada Pizza Hut. Sebiji kek sudah memadai. Alhamdulillah, air tangan opah menyebabkan berkali-kali aku menambah nasi.

Sekalung penghargaan buat teman-teman yang masih ingat hari istimewa saya. Kalian benar-benar membuatkan hati saya berbunga menerima SMS ucapan selamat itu.

Kak Yang, terima kasih atas kesudian membelikan hadiah buat Kakde. Kakde akan jaga dengan baik pemberian Kak Yang itu. Adik bongsu kakak, terima kasih bersusah payah menghias kad ucapan untuk kakak. Terlalu indah sebuah kad itu. Kakak sayang Yah juga!

Soalan Kak Farah tadi, "Fairuz nak hadiah apa?" Jawapan Fairuz, "Suami yang soleh" Hanya gurauan nakal. Aku belum bersedia bersuami pada usia 20 tahun.




Kad ucapan daripada adik dan Jabatan Penerangan Malaysia


Hadiah daripada Kak Yang

P/S: Anak Merdeka yang lahir pada 31 Ogos dan Anak Malaysia di Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan yang lahir pada 16 September boleh menjadi ahli Kelab Anak Merdeka. Sila layari http://anakmerdeka.penerangan.gov.my/anakmerdeka untuk keterangan lanjut.

Salam Merdeka,
Kakde Chula

Sunday, August 30, 2009

Selagi Masih Ada Ihsan

Assalamualaikum..

Ayah sudah pulang ke Pulau Pinang. Sempat juga aku pulang ke rumah sebelum ayah berangkat ke sana. Seperti biasa, ayah akan menyempurnakan kerja sampingannya sebelum pulang. Ayah mengajak Ummi menemaninya ke Slim River. Tergerak hati hati ingin ikut serta ke sana. Sengaja ingin melihat dunia setelah berkurung selama dua minggu di asrama.

Usai kerja ayah, kami menuju ke Pusat Penjagaan Haiwan di Tambun. Kami melawat kucing-kucing yang dihantar ke sana dua minggu lalu. Hanya ada 9 ekor daripada 10 ekor anak kucing yang kami pelihara. Hairan, mana pergi yang satu lagi? Aku bertanyakan hal itu kepada Ummi. Ummi beritahu, salah seorang daripada teman abangku sudah mengambilnya. Patutlah tak ada kucing yang ala-ala albino tu.

Ku lihat anak-anak kucing tidak lagi segemuk dulu. Kata penjaga kucing itu, mereka gemuk kerana ada cacing di dalam perut. Kehadiran cacing itu jugalah yang menyebabkan kucing kerap minta makan. Kalian memang bagaikan hantu. Tak pernah kenyang!

Setelah diberikan ubat cacing, kesihatan anak-anak kucing bertambah baik. Mereka tidak lagi menghadapi masalah cirit-birit dan badan semakin kurus. Asalkan mereka dijaga dengan baik oleh penjaga yang mendukung amanah. Kami akan terus melawat kalian dari semasa ke semasa!


Dua beradik dipisahkan oleh dua sangkar kucing


Anak-anak mereka

Wednesday, August 26, 2009

Sukma Rindu Ramadhan

Assalamualaikum..

Kelmarin..
Hari ini..
Esok..

Ada satu wajah yang amat ku rindui..
UMMI

Jumaat ini, aku akan pulang ke desa tercinta. Bertanggak dulu di rumah Kak Na esok. Terima kasih Kak Na dan Abang Nazeri! Tanpa kalian, Fairuz tak tahu macam mana nak pulang ke Ipoh.

Aku merindui suasana bulan Ramadhan di rumah. Indahnya bersahur bersama keluarga, aku terkenang saat didukung oleh Ummi untuk bersahur sewaktu masih kecil. Maklumlah, liat bangun sahur. Meriahnya berbuka puasa bersama keluarga dan.. aku juga rindu ke Bazar Ramadhan di Ipoh!

Kepingin bersolat tarawih di Masjid Sultan Azlan Shah. Tentu sekali aku takkan lepaskan peluang bersolat tarawih di sana setelah pulang ke Ipoh nanti.

Hanya lima hari saja tinggal menjelang ulang tahun ke-20 buatku dan kakak kembarku. Hadiah belum sempat ku belikan buatnya. Tentunya yang indah-indah saja buatmu, Kak Yang. Pertama kalinya kami terpaksa potong kek pada waktu malam. Dapatkah makan pizza seperti tahun lepas? Tinggal satu persoalan..

Sukma Rindu,
Kakde Chula

Sunday, August 23, 2009

Seminggu di IIC

Assalamualaikum..

14 Ogos 2009
Achik, Cikza, Kak Yang, Mak Yang, Alieya dan Irfan menghantar aku ke asrama. Pada mulanya, aku sudah menempah bilik yang berhawa dingin, tapi setelah meninjau keadaan bilik itu aku mengubah fikiran. Akhirnya, aku membuat keputusan untuk menginap di apartment saja. Tingkat enam pun aku tak kisah. Rumah aku ada dua bilik. Satu bilik memuatkan empat orang penghuni. Aku lebih selesa tinggal di apartment daripada bilik berhawa dingin yang aku lihat bagai tak cukup udara nak bernafas. Aku terpaksa menumpang tidur di rumah jiran sebelah kerana teman serumah belum pulang ke asrama. Sebenarnya, aku mahu tidur di bilik aku sendiri tapi memikirkan pekerja am di sini membuka pintu rumah menggunakan kunci pendua petang tadi, aku tebalkan muka ke rumah sebelah.

Aku sempat menjaga Irfan di masjid

Irfan yang sudah pandai duduk bersandar di sini
Mata Alieya sudah sembuh
Pemandangan dari bilik

Pemandangan dari beranda

Hari-hari menjenguk KLCC, entah bila dapat ke sana


15 Ogos 2009
Teman serumah sudah pulang. Bermula dengan Wanie..seterusnya Yana, A'aishah, Ila, Ecah, Quya dan Deqya. Empat orang daripada mereka mengambil jurusan yang sama denganku. Aku teruja setelah mendapat tahu tentang hal itu. Alhamdulillah, teman serumahku baik belaka. Aku lihat mereka sangat akrab seperti satu keluarga. Walaupun, aku agak malu-malu dengan mereka, aku rasa senang hati menjadi ahli keluarga baru dalam rumah ini.

16 Ogos 2009
Aku memulakan hari pertama sebagai pelajar IIC. Aku terpaksa bersendirian tanpa teman serumah. Mereka tiada kelas seawal aku, tapi ia bukanlah masalah besar bagiku. Bas yang disediakan adalah percuma dan sentiasa ada mengikut masa yang ditetapkan. Pada pukul 8.30 pagi, aku menjalani ujian Bahasa Inggeris di dewan utama. Seterusnya, mendengar taklimat yang diberikan. Pada hari ini, aku bertemu dengan Saza. Teman lama yang banyak membantu aku mengenali IIC. Aku kebosanan pada waktu malam kerana tiada tugasan yang diberikan oleh pensyarah, sedangkan teman serumah sibuk belajar.

17 Ogos 2009
Kelas sudah bermula. Kelas pertama dengan Madam Hanim. Aku hanya belajar asas Matematik, belajar pecahan macam sekolah rendah dulu. Seterusnya, kelas Bahasa Inggeris dengan Mr Khairunnizam. Tuah pada hari ini, aku berjumpa dengan Wafa dan Nadhrah.

18 Ogos 2009
Aku bertemu dengan Farah Wahida sewaktu menunggu bas. Aku tak menyangka agak ramai rakan lama di sini. Kelas berlangsung seperti hari sebelumnya. Masih lagi belajar asas Matematik, tapi hari ini aku memerah otak kerana terpaksa membuat essay. Agak payah mencairkan otak yang membeku selama tujuh bulan, tapi aku tetap mencuba menyiapkannya sampai habis. Pada waktu malam, aku ke kolej kerana mengikuti program menyambut kedatangan Ramadhan anjuran GPMS cawangan IIC.

19 ogos 2009
Seperti biasa, aku mengikuti kelas Matematik dan Bahasa Inggeris. Selepas itu, aku meninjau rumah sewa bersama rakan-rakan sekelas. Aku membatalkan niat berpindah ke rumah sewa.

20 -23 Ogos 2009
Dapatlah aku berehat dua tiga hari ini. Namun, aku perlu menyiapkan tugasanku. Berdebar menanti hari esok. Ya Allah, permudahkanlah urusanku. Amin.

Wednesday, August 19, 2009

Salam Ramadhan

Assalamualaikum..

Hari-hari yang aku lalui di IIC sungguh indah. Sudah empat hari aku menikmati kehidupan sebagai seorang pelajar. Dunia yang penuh suka duka. Dunia yang mengajar erti kesabaran,juga dunia yang mengajar aku berdiri di atas kaki sendiri.

Di sini aku bertemu kembali ukhwah yang telah terpisah. Pada hari pertama, aku berjumpa dengan Sazaratul dan Farah Wahidah yang dahulunya kami menuntut ilmu di sekolah yang sama iaitu SM Teknik Kuala Kangsar. Walaupun dulu, kami bukanlah sekelas. Tapi kini kami mengambil kursus yang sama.

Tadi, aku berkesempatan berjumpa dengan teman-teman sekolah rendah. Aku sungguh tak mengenali sepasang mata milik Wafa yang ku kenali sejak di Sek Ren Islam Al-Ummah. Wafa sudah memakai niqab, subhanallah. Aku juga berjumpa dengan Nadrah Baharom di sana. Nadrah juga mengambil kursus yang sama denganku. Sungguh aku tak sangka, ramai juga teman lama yang belajar di sini.

Ramadhan kian menjelang. Aku tinggal menghitung hari saja. Syukur masjid dekat saja dengan asrama walaupun perlu menyeberang jalan, nampaknya Masjid Jamek Saad Bin Abi Waqas bakal ku imarahkan insya-Allah.

Aku perlu ke kolej untuk mengikuti program menyambut kedatangan Ramadhan anjuran GPMS cawangan IIC sebentar lagi. Makan percuma, alhamdulillah. Berhenti di sini.


Friday, August 14, 2009

Manja Bee



Harap maaf, baju bee untuk kanak-kanak 8 tahun tiada di pasaran



Sunday, August 09, 2009

Perlumbaan Kedua



Assalamualaikum..

Aku sudah mendaftar di IIC. Berikutan penularan kes H1N1, para pelajar dan ahli keluarga yang hadir diberikan topeng muka. Ketika di dalam lif, aku lihat mukaku yang bertopeng. Kelihatan seperti memakai purdah! Aku kehairanan melihat lif IIC yang sangat luas dan ada cermin, aku terasa seperti jakun pula.

5 Ogos 2009

Segalanya bermula ketika menemani ummi di hospital, aku membaca surat khabar Harian Metro yang aku beli di kedai tingkat 1. Aku menyelak helaian akhbar itu satu persatu. Mata kanan dan kiri ligat menangkap setiap patah perkataan. Kemudian, aku ternampak iklan IIC di sudut bawah.

-Eh, IIC lah!
-Ada pengambilan pelajar pada 9 Ogos dan 30 Ogos

Ketika keputusan STPM belum diumumkan, aku pernah berniat belajar di IIC. Waktu itu, aku mencari maklumat tentang jurusan Pendidikan Awal Kanak-Kanak di enjin pencarian google. Aku dapat maklumat, ada 3 IPT yang menawarkan jurusan ini iaitu UNITAR, UNISEL dan IIC. Aku mula membuat survey, antara ketiga-tiga IPT ini hanya IIC yang menyediakan program didikan cara Islam.

"Ummi, kalau Kakde masuk IIC okay tak? Kakde pilih jurusan DCE". Aku minta pandangan ummi. "Kakde nak daftar 30 haribulan ni. Kalau ambil pentadbiran awam di UITM, risau nanti susah nak cari kerja. Lagipun, Kakde memang sukakan budak-budak. Jadi, jurusan DCE ni lebih dekat dengan diri Kakde".

"Kalau kakak minat jurusan tu, bolehlah cuba", kata ummi.

"Ummi boleh tolong telefon nombor yang ada kat sini?" Aku memang anak manja. Hendak telefon orang yang tak dikenali saja malu.

Aku keluar sebentar. Laju melangkah ke kedai tingkat 1. Tujuan aku satu, ingin mengakses internet. Aku melayari laman web IIC, diselangi dunia penulisan blog.

"Kakak, ummi cuba nombor telefon yang perempuan tu, tapi tak dapat. Yang dapat ummi hubungi, En Saleh. Kata En. Saleh, elok kakak masuk 9 Ogos. Kalau masuk awal, boleh dapat loan PTPTN tahun ni. Kalau 30 Ogos, tahun depan baru dapat loan".

Hati yang ria bertukar suram mengenangkan aku yang terpaksa pergi dalam masa terdekat. Aku merasakan aku belum bersedia untuk meninggalkan ummi. Ummi juga masih belum pulih dari sakitnya.

Aku sampaikan hasrat pada ayah. Pada mulanya, ayah menolak. Ayah mahu aku belajar di UITM saja. Aku cuba memujuk ayah, tapi ayah tak masih tak beri kata putus". Ayah kena balik Pulau Pinang esok. Siapa nak hantar nanti". Aku hampir putus asa. Kepala sudah rasa berat.

6 Ogos 2009

Keesokan harinya, ayah mula mengubah fikiran. Ayah mengizinkan aku belajar di IIC. Aku bersyukur ada rezeki untuk belajar di IIC.

7 Ogos 2009

Pada hari Jumaat, aku membuka akaun di Bank Islam. Ummi masih belum sihat. Ayah pula sudah kembali bekerja di Pulau Pinang. Mujur aku ada Aishah, kakak kembar yang baik hati, sanggup berkorban masa menemani aku. Proses pembukaan akaun Bank Islam lebih rumit daripada pembukaan akaun Maybank. Terlalu banyak butir-butir diri yang perlu diisi dan disebabkan debaran hati mengenangkan hari pendaftaran yang kian menjelma, banyak kesilapan aku buat. Terutama sekali kesilapan pada alamat. Sudahlah aku masih baru berpindah rumah.

Syukur aku berurusan dengan pegawai bank yang berhati mulia. Sanggup menguruskan aku walaupun jarum jam menunjukkan hampir pukul 5pm dan pegawai bank di sebelah sudah mengira wang! Masih tampak tenang walaupun aku telah menyebabkan dia terpaksa pulang lewat. Aku sungguh terharu meskipun tersimpan rasa bersalah.

Usai urusan bank, kami membeli tiket bas. Kami terserempak dengan Hanim, satu-satunya sahabat terbaik yang saya ada. Hanim tetap seorang gadis sopan dan lemah lembut seperti yang ku kenali sejak 6 tahun lalu. Sudah terlalu lama tak bersua muka tentunya aku gembira dengan pertemuan yang tak disengajakan itu. Sempat juga ku khabarkan berita aku menyambung pelajaran di IIC.

Pada sebelah malam, kami ke kampung pula. Mahu meminta pengesahan salinan sijil daripada Ayah Cho, bapa saudaraku yang bekerja sebagai Pesuruhjaya Sumpah. Malangnya, Ayah Cho kata Pesuruhjaya Sumpah tak dibenarkan mengesahkan sijil. Aku pulang dengan hampa. Aku keletihan sehari suntuk menguruskan pelbagai hal penting.

8 Ogos 2009

Pada pagi Sabtu, ummi menghantar aku dan Aishah ke stesen bas ekspress. Sayu menyelubungi diri. Aku terkenangkan wajah ummi ketika aku mahu melangkah keluar dari kereta sebelum wajah itu hilang dari pandangan. Aku tak dapat menahan diri. Air mata tumpah dan mengalir deras. Aku terus membiarkan fikiranku melayang entah ke mana dan akhirnya aku tertidur seketika.

Achik dan Mak Yang menjemput kami di tol Jalan Duta. Kepenatan masih lagi bersisa. Barang keperluan asrama masih belum dibeli. Pada pukul 6pm, Mak Yang, Aishah dan aku bertolak ke Alamanda untuk membeli barang. Aku gagahkan diri menyorong troli, mencari barang-barang yang sudah disenaraikan. Setelah selesai memilih, aku ke kaunter pembayaran. Pembelian barang melebihi anggaran. Hal ni terjadi sebab ada sesetengah barang yang aku terlepas pandang ketika menulis senarai barang keperluan. Aku membuat pembayaran. Pada waktu itu, aku sudah mula susah hati dan terasa seperti mahu menangis. Terpaksa minta duit pada ayah lagi.

9 Ogos 2009

Selepas bersarapan, Achik, Mak Yang, Aishah dan Alieya menemani aku mendaftar di IIC. Sebelum itu, kami ke Carrefour kerana menukar sterika yang berbunyi ketika digunakan. Baru ku tahu, polisi Carrefour yang membenarkan pengguna mendapatkan wang kembali dengan memulangkan barang. Achik ke pejabat untuk mengesahkan salinan-salinan sijilku. Mujur Achik ialah seorang pegawai kerajaan kumpulan pengurusan dan profesional. Aku bersyukur Allah permudahkan urusanku. Dalam masa 3 hari saja semua urusan berjaya dilaksanakan. Alhamdulillah.

Pertama kali menjejakkan kaki di IIC, aku mula rasa selesa dengan persekitarannya. Pendaftaran berjalan dengan lancar, alhamdulillah. Yang tinggal hanya urusan asrama. Berikutan kes H1N1, IIC ditutup selama seminggu. Baru mendaftar, aku sudah diberi cuti. Kegembiraan mendapat cuti sempena kes H1N1 tidak wujud dalam diriku. Cuma aku bersyukur dapat membuat kad Bank Islam yang tertangguh akibat Bank Islam kehabisan kad ketika aku membuka akaun. Tak perlulah aku ke Bank Islam di UIA.



Renungan: Sekarang musim orang jatuh sakit. Keluarga bapa saudara di sini sakit mata. Adik saudaraku Danish, dimasukkan ke hospital kerana demam panas. Semoga mereka cepat sembuh dan aku memohon perlindungan Allah supaya aku, ibu bapa dan ahli keluarga dijauhkan daripada penyakit berbahaya.

Thursday, August 06, 2009

Dari Hospital ke Rumah

Assalamualaikum..

Rumah kembali ceria sekembalinya ummi dari hospital. Kalau diikutkan, ummi masih belum benar-benar sembuh. Mahu juga pulang kerana sudah bosan berlama di hospital. Kata ummi, dia kesunyian tanpa aku di wad. Aku cukup tersentuh mendengarnya. Kalau boleh aku memang mahu menemani ummi setiap waktu, tapi masa aku terbatas. Aku perlu bantu ummi menguruskan hal di rumah.

Aku berpuas hati dengan rawatan yang ummi terima di hospital. Setiap hari ummi diberi rawatan nebulizer, ummi diberi antibiotik dan rawatan fisioterapi. Tekanan darah dan kandungan glukosa dalam darah juga diperiksa beberapa kali sehari. Kini ummi lebih berhati-hati memilih minuman di rumah. Tiada lagi kopi susu.

Ummi masih perlu makan ubat. Ubat asma menyebabkan badan lemah dan rasa berdebar. Rasa menggeletar selepas ambil ubat itu. Aku harap ummi diberi cuti lebih lama lagi sehingga benar-benar sembuh.

Sekalung penghargaan buat Raihan yang sudi menziarahi ummi untuk kali kedua. Maaf sebab tak dapat berborak panjang di kafeteria, masa benar-benar memburu tika itu. Jutaan terima kasih buat kalian yang menyokong saya. Betapa berharganya kata-kata semangat kalian di saat hati makin rawan. Teman sejati sememangnya teman yang hadir di kala duka. Terima kasih semua!

..Betapa aku menghargai nikmat sihat

Sunday, August 02, 2009

Berkampung di Hospital

Assalamualaikum..

Aku jadi pulang ke rumah. Setelah dipujuk, ayah terbuka hati untuk membawa aku pulang bersama. Terima kasih ummi, Kak Yang dan Yah. Kalian berjaya mempengaruhi ayah dalam membuat keputusan. Ayah meminta Achik menghantarku ke hotel penginapan mereka. Tak sedap pula rasanya menyusahkan Achik menghantarku sebentar lagi, tapi, aku tiada pilihan lain. Alasan ayah dia tidak biasa dengan jalan di Selangor.

Ummi sudah merancang untuk masuk wad malam ini. Surat pengesahan daripada doktor PMC sudah diambil. Ummi diserang penyakit Bronkitis. Sudah lama penyakit ini tidak menyerang, kini kembali lagi. Ummi asyik batuk-batuk dan dada terasa penat.

Aku pasti ini disebabkan jangkitan kuman daripada 10 ekor anak kucing yang baru lahir dua bulan lalu. Kami sekeluarga buntu mencari pusat pelindungan haiwan (SPCA) yang benar-benar amanah dalam menjaga haiwan peliharaan yang dihantar. Ada suara yang mengatakan risiko menghantar kucing ke SPCA. Abang aku marah benar kalau kami menyuarakan hasrat mahu menghantar anak-anak kucing ke SPCA.

Aku harap kami berjumpa jalan keluar masalah ini. Kucing mendapat perlindungan di tempat lain. Aku mahu ummi kembali sihat. Ubat-batan dari klinik memang tak cukup kuat untuk melawan penyakit ummi. Kebiasaannya, sesudah empat hari dirawat di hospital barulah penyakit itu reda.

Semoga ummi cepat sembuh dengan izin-Nya.

p/s: Siapa nak kucing, angkat tangan!

Saturday, August 01, 2009

1 Ogos untuk Siapa?

Assalamualaikum..

"Selamat Hari Persahabatan!" Aku masih ingat lagi pertama kali aku menerima ucapan itu ketika di tingkatan dua. Ucapan itu sungguh aneh bagiku. Baru ku tahu ada hari istimewa untuk menghargai rakan-rakan.

Setiap 1 Ogos, aku akan menerima ucapan itu. Ketika di SMTKK, aku pernah berbalas kertas ucapan dengan Misae dan Hanim. Masing-masing mencari kata-kata indah untuk diabadikan. Kami menulis dengan penuh kesungguhan. Kertas kecil itu masih tersimpan rapi hingga kini. Ketika di ACS pula aku berbalas hadiah dengan Raihan. Ucapan seperti saban tahun juga masih diteruskan.

Pada tahun ini, 1 Ogos bukanlah sekadar meraikan sahabat. Kali ini, ayahku menerima anugerah atas perkhidmatannya selama 30 tahun. 30 tahun lamanya ayahku berkhidmat dengan TNB dan ayahku bakal bersara pada hujung tahun ini. Untung ayah lahir pada bulan Disember, jadi dapatlah kerja sampai hujung tahun.

Banyak juga kelebihan berkhidmat dengan TNB. Tambahan lagi, pekerja yang memulakan perkhidmatan sebelum TNB diswastakan yang sebelum ini bernama LLN. Aku sebagai anak pekerja bersyukur dengan kelebihan itu.

Semalam aku menanti ketibaan ummi, ayah dan adik bongsuku. Aku sangkakan mereka mahu menginap di rumah bapa saudara. Adik aku beritahu mereka sudah tiba di hotel. Lalu aku menelefon ummi. Aku minta ummi dan ayah mengambilku selepas mengambil kembarku di Unisel.

"Mana boleh ambil Fairuz, barang Aishah banyak. Dalam kereta ayah pun dah ada banyak barang", kata ayah. Patah hatiku. Aku sudah merancang mahu pulang ke rumah bersama mereka. Sebab itulah aku tak ikut Mak Yang pulang semalam. Mak Yang, Fairuz tak dapat tidur malam tanpa Mak Yang. Entah kenapa aku seperti diserang insomnia!

Kata ummi, ummi mahu dirawat di hospital minggu depan. Baru-baru ini, aku telefon ummi. Katanya, sakit kepala. Mungkin tekanan darah naik. Mana tidaknya, ummi makan rempeyek. Aku sempat berpesan supaya ummi meninggalkan makanan rapu.

Memandangkan ummi mahu ditempatkan di hospital, aku mahu pulang. Nanti aku akan cuba memujuk ayah supaya mengambilku di sini. Kalau terpaksa bersesak dalam kereta juga aku sanggup. Nak buat macam mana, kami mahu kereta MPV, tapi kereta sedan juga jadi pilihan ayah.

Hari ini baru 1 Ogos. Lagi 30 puluh hari, aku akan meningkat tua. Tak sabar rasanya nak jadi gadis 20 tahun. Bukan lagi gadis belasan tahun.
 
Spektrum Cinta © 2008 ♥ Template by B.K