Friday, December 18, 2009

Salam Ma'al Hijrah 1431H

Assalamualaikum

Ya Allah,
Seketika di akhir tahun ini
Insya-Allah muncul tahun baru yang ceria
Engkau muliakan dan sayangi pembaca ucapan ini
Berkati keluarganya, sihatkan tubuh badannya
Limpahkan rezekinya
Jauhkan daripada fitnah, penganiyaan dan penghinaan
Suburkan benih keimanan dengan penuh rasa kasih sayang serta
Taqwa tanpa alasan.
Makbulkan cita-citanya yang murni
Amin Ya Rabbal Alamin


Masa pantas berlari. Sampai tak sedar, tahun baru sudah kian mampir dan hari ini tercatatlah diari baru bagi amalan kita. Semoga tahun ini, catatan amalan mahmudah melebihi catatan amalan mazmumah.

Kurang sebulan lagi, aku bakal menyambut ulang tahun dalam kiraan tahun hijrah. Tarikh rasminya 28 Muharram 1410H. Sekiranya anda mahu menukar hari lahir ke dalam tahun hijrah, sila klik Islamic Calendar . Sumber: Cara Gadis Kampung

AMALAN SUNAT DALAM BULAN-BULAN ISLAM :

BULAN MUHARRAM

  • Tanggal 1-9hb disunatkan berpuasa (puasa Tasua')
  • Tanggal 10hb disunatkan berpuasa (puasa Asyura)
  • Dalam bulan ini disunatkan agar memperbanyakkan amalan bersedekah kepada fakir miskin
  • Disunatkan supaya melebihkan perbelanjaan dalam keluarga
  • Mengusap kepala anak yatim dan menaruh perasaan belas kasihan terhadap mereka
  • Memperbanyakkan bacaan zikir dan selawat
  • Sesiapa yang berbuat baik kepada anak yatim seolah-olah ia telah berbuat baik kepada semua anak-anak yatim.
  • Sesiapa yang bersedekah pada hari itu maka seolah-olah ia tidak pernah menolak permintaan orang yang meminta-minta selama hidupnya
Sumber: e-zakat.com.my

Salam Ma'al Hijrah,
Fairuz Ashikin

Sunday, December 13, 2009

Semester 2: Permulaan

Assalamualaikum

Siapa menanam pasti menuai. Aku sudah menanam pada semester lalu. Padinya telah ku tuai. Alhamdulillah, ku syukuri rezeki kurniaan Ilahi. Semoga ia menjadi azimat supaya aku terus maju melangkah setelah tiga bulan bertatih di lantai akademik IIC.

Sekalung penghargaan buat pensyarah, keluarga dan sahabat handai yang memberi tunjuk ajar dan sokongan padu selama saya belajar di semester 1.

Kuliah semester 2 sudah bermula pada 7 November yang lalu. Berbekalkan semangat dan iltizam, aku memulakan langkah di IIC. Minggu pertama dalam semester dua agak membosankan kerana pada minggu ini, aku masih belum belajar. Hanya pengenalan subjek dan peraturan dalam kelas yang diberikan oleh para pensyarah. Kelas berjalan selama 15 minit, paling lama pun 30 minit. Jadi, tidak hairanlah ramai yang tidak hadir ke kelas.

Subjek yang bakal aku pelajari pada semester 2

  • INTRODUCTION TO ARABIC LANGUAGE
  • INTRODUCTION TO ISLAMIC EDUCATION
  • INTRODUCTION TO ISLAMIC EARLY CHILDHOOD EDUCATION
  • INTERMEDIATE ENGLISH 2
  • MALAYSIAN STUDIES
  • ISLAMIC STUDIES
Kali ini, aku mengambil 6 mata pelajaran. Darahku mulai gemuruh memikirkan banyaknya perkara yang perlu aku pelajari. Aku harap aku boleh melakukan yang terbaik buat diriku. Doakan kejayaan saya!

Wednesday, December 02, 2009

Ulang Tahun ke-56 Ayah

Assalamualaikum

November sudah melabuhkan tirainya, Disember mula menjengah. Saban tahun, 2 Disember merupakan tanggal ayah menambah bilangan angka pada usianya. Pada tahun ini, genaplah 56 tahun usia ayah.

Sambutan ulang tahun ayah, hanya dibuat secara ala kadar. Tiada kek istimewa seperti ulang tahun aku dan anak-anak ayah yang lain. Mungkin kami sudah muak dengan kek. Jadi, KFC menjadi santapan kami sebagai hidangan makan malam. Alhamdulillah, atas kurniaan rezeki.

Doa untuk ayah ..

Semoga dikurniakan umur yang bermanfaat,
Semoga dikurniakan iman yang sempurna,
Rezeki yang luas,
Hati yang khusyuk,
Lidah yang sentiasa berzikir,
Taubat yang sebenar sebelum mati


Syukur, ayah dapat menyambung khidmat dengan TNB. Semoga dapat sambung kontrak lagi pada tahun berikutnya.



Bahagian paha sudah menjadi kegemaranku

Wednesday, November 18, 2009

Konvokesyen UNISEL 2009

Assalamualaikum

1 November

Selepas bersarapan, Achik, Mak Yang, opah dan Alieya bertolak ke UNISEL bersamaku. Rombongan ummi, opah, Ayah Cho dan Abang Wan dari Ipoh juga tidak ketinggalan. Makde, Mak Yong, Naim dan Aqilah juga turut hadir bagi menceriakan kakak kembarku, Aishah. Ini merupakan kali pertama aku hadir ke Hari Konvokesyen. Kali pertama juga dalam sejarah, anak ummi dan ayah menerima segulung diploma.



Sudah menjadi kebiasaan, hanya dua orang ahli keluarga yang dibenarkan masuk ke dalam dewan. Ummi dan opah sahaja yang masuk, manakala aku dan ahli keluarga yang lain sekadar menyaksikan acara dari luar. Ada tv yang disediakan di bawah khemah untuk tontonan orang ramai.

Aku tidak dapat menahan perasaan sebak di dada, terharu melihat para graduan menerima segulung diploma setelah melalui jerih payah selama belajar di universiti. Benarlah siapa yang menanam, pasti akan menuai. Buat Kak Yang dan Zu, tahniah buat kalian. Semoga berjaya dalam perjuangan yang baru bermula.

Friday, October 30, 2009

Semester 1:Kuiz dan Peperiksaan

Assalamualaikum..

Pada minggu hadapan, pensyarah akan memberi kuiz. Kuiz dimulakan pada hari Selasa, bersambung pada hari Rabu dan Khamis. Tentu sekali meletihkan bila membiarkan otak 'bersukan' selama tiga hari berturut-turut.

Pada 17 November, peperiksaan akhir semester menjelang. Ayuh, berjuang hingga ke titisan darah A, B, AB dan O yang terakhir!

Lampiran
(Sila klik pada gambar untuk melihat gambar yang lebih jelas)

Jadual Kelas Harian



Exemption/ Transfer Credit



Saturday, October 10, 2009

Mata Perlukan Cermin untuk Melihat

Assalamualaikum

Sudah hampir dua minggu aku pendamkan hasrat untuk kembali mengarang. Namun, aku terperangkap dalam keterbatasan waktu. Kali ini, aku luangkan sedikit waktu menyusun kata yang tidak seindah mana.

Sejak belakangan ini, aku merasakan cermin mataku tidak lagi berfungsi dengan baik. Bila aku pakai, pandanganku tidak begitu jelas, tapi bila aku tanggalkan cermin mata itu pandanganku lebih jelas! Berkali-kali aku cuba membersihkannya, namun hasilnya tetap sama. Aku membelek cermin mata itu. Ada kesan calar rupanya.

Aku bercadang mahu membeli cermin mata baru. Bila mengenangkan ayah sudah banyak keluarkan duit untuk perbelanjaan harian aku dan adik-beradik, keinginan itu mati di situ saja.

Aku cuba bertahan memakai cermin mata yang lama. Lama-kelamaan, aku semakin berasa kurang selesa. Akhirnya, mata aku dibiarkan bebas tanpa cermin mata. Kesannya, mataku cepat letih dan mula rasa pening.

Akhirnya, aku nekad membuat cermin mata baru. Aku gunakan saja wang simpananku sejak memulakan pengajian, dicampur pula dengan duit raya. Syukur, Allah permudahkan jalanku. Kebetulan sepupuku, Alieya juga ingin menukar cermin mata baru. Jadi, tidaklah aku membebankan bapa saudara untuk membawa aku ke Kajang semata-mata menguruskan hal aku seorang.

Sebelum ke kedai cermin mata, kami singgah di kedai membaiki kereta. Aku tinggal berdua dengan Alieya di dalam kereta.

Tiba-tiba, kedengaran satu dentuman yang kuat. Aku berpaling ke arah belakang.

"lahaulawalaquataillahbillah"

Rupa-rupanya, ada satu kemalangan yang baru saja berlaku. Kemalangan itu melibatkan seorang penunggang motosikal dan sebuah kereta nasional.

Kejadian berlaku apabila kereta itu membuat pusingan U di atas jambatan. Aku sendiri hairan dengan tindakan berani pemandu itu. Aku dapati, kawasan itu tidak selamat untuk membuat pusingan U. Malah, laluan untuk membuat pusingan U sudah disediakan.

Aku bersimpati dengan nasib penunggang motosikal itu. Sebaik jatuh dari motor, penunggang motosikal itu langsung tidak berupaya untuk bangun. Kakinya tercedera. Dia hanya terbaring di atas jalan. Aku sudah cemas. Bimbang kalau ada kenderaan lain memandu laju dan tidak sempat menekan brek.

Tidak berapa lama kemudian, ada kenderaan yang berhenti menghulurkan bantuan. Tiga orang lelaki mengangkat mangsa ke tepi jalan. Beberapa penunggang motosikal lagi berhenti di tepi jalan dan memberi sokongan kepada mangsa tidak mengira bangsa. Aku sungguh terharu melihat betapa rakyat Malaysia prihatin terhadap mangsa kemalangan.

Kira-kira 15 minit kemudian, ambulans tiba untuk membawa mangsa ke hospital.

Semoga titipan kisah menjadi iktibar kepada pengguna jalan raya. Jadilah pemandu yang berhemah dan mematuhi undang-undang jalan raya. Kepada mangsa kemalangan tersebut, saya mendoakan semoga anda cepat sembuh.

Penatnya jalan-jalan


Tetap tersenyum walaupun keletihan


Thursday, October 01, 2009

Kami Juga Merasai Gegaran itu

Assalamualaikum..

Petang semalam, aku dan teman-teman mengalami suatu insiden yang mencemaskan. Pada waktu itu, aku sedang menelaah pelajaran. Teman serumah serumah asyik bercerita tentang seorang penyanyi nasyid kegemaranku, lalu aku berhenti seketika dan aku pun tumpang sekaki! Begitu tekun aku mendengar kisah yang teman serumah, Deqya sampaikan.

Tiba-tiba, teman sebilikku Ila bersuara.

“Kejap!”

“Kau orang ada rasa gegaran tak?”

Aku bingkas bangun. Aku cuba mengamati kondisi lantai dan kali ini aku sendiri dapat merasai gegaran itu!

Wanie yang sedang tidur, tiba-tiba terjaga. Katilnya bergoncang disangka ada teman yang ingin bercanda.

“Air milo di atas lantai pun berkocak!”

Aku membayangkan kalau aparment tujuh tingkat ini runtuh. Masihkah sempat aku menyelamatkan diri? Mahu juga menggeletar tubuhku.

Kami jadi panik. Akhirnya, kami membuat keputusan untuk keluar dari rumah.

Malangnya, teman sebilikku Ecah pula sedang bersolat, terpaksa ditinggalkan sementara kami mahu memanggil jiran.

Kami ketuk pintu rumah jiran. Jiran rumah sebelah tidak menyahut, cuma jiran rumah hadapan yang membuka pintu. Kami bertanya apakah mereka juga merasai gegaran itu. Memang ada.

Pada firasat mereka, gegaran itu berlaku kerana ada projek pembinaan. Jadi, kami tidak jadi turun ke bawah. Tambahan pula, tiada lagi terasa gegaran itu.

Teman serumahku, Aishah menceritakan detik mencemaskan itu kepada ibunya. Ibunya menceritakan berita dunia langsung menjawab persoalan kami.

Barulah kami tahu, gempa bumi sedang berlaku di Padang, Sumatera pada petang itu dan itulah punca gegaran itu. Gegaran itu terasa mungkin kerana rumahku di tingkat enam. Aku bersyukur tiada perkara buruk berlaku di sini. Semoga dilindungi Allah setiap detik.

Wednesday, September 23, 2009

Hari Lebaran 1430H



Assalamualaikum..

Jari membilang hari. Sudah empat hari Syawal menjengah. Syukur masih berkesempatan meraikan hari kemenangan ini bersama keluarga tercinta, cuma ayah belum sempat aku temui. Tuntutan kerja menyebabkan ayah tidak dapat pulang beraya di sini.

Saban tahun aku setia mengimarahkan Masjid Sultan Azlan Shah pada pagi lebaran. Bagaikan ada magnet yang kuat menarik aku ke sana itu setiap kali menjelang Aidilfitri. Lambaian takbir merantai sukma, ditambah pula penyampaian khutbah selepas solat sunat yang terkesan di hati. Aku tekun meniti bait kata-kata yang penuh hikmah dan teguran berlapik, aku sukakan cara seperti itu!

Usai solat, aku dan ahli keluarga bertolak ke kampung di Batu Gajah. Sanak saudara sudah menanti di teratak nenda. Tiba masanya untuk bermesra bersama sepupu. Masing-masing bertukar cerita, maklumlah sudah lama tak bersua. Selain itu, dapatlah aku bermain dengan anak-anak buah yang semakin besar. Makin bijak juga!

Usah diperkatakan tentang juadah pada hari itu. Aku makan sepuasnya. Lemang tak sanggup aku tinggalkan, alasanku mudah. Nasi himpit boleh juga dimakan bersama sate, tapi lemang? Aku juga menikmati laksa di rumah bapa saudara, Ayah Cho. Aku makan banyak sekali, memang tak sayang perut!

Puteri dan Darwish

Najmuddin nak azan agaknya

Kemudian, aku beraya di kampung sebelah ayah pula. Rumah opah di Batu Gajah tidak jauh dari rumah opah di Kg Meranti Lapan. Perjalanan mengambil masa 15 minit sahaja. Kelebihannya, aku dapat beraya di dua kampung dalam satu hari. Sempat juga beraya di rumah ibu saudara, Mak Ngah. Sekali lagi aku menjamah laksa. Makanan kegemaran boleh diulang berkali-kali, itu pasti.

Sudah menjadi kelaziman pada hari raya kedua, aku dan saudara mara berkunjung ke rumah adik opahku, Opah Su di Bagan Serai. Hidangan wajib tentulah sambal udang yang menjadi kegemaranku. Sampai tak sedar, aku telah mengambil udang dalam kuantiti yang banyak. Alamak!

Gendang gendut tali kecapi, kenyang perut senang hati


Bapa saudara merangkap bodyguard Ummi

Pada hari raya ketiga, aku kembali ke Batu Gajah. Ummi mahu menikmati Mee Kari hasil air tangan Kak Yong. Aku menurut ummi saja. Bagai tak cukup perut aku makan mee kari dan laksa. Masakan Kak Yong yang memikat selera menyebabkan aku berkali-kali menambah.

Hari ini, keluarga aku membuat rumah terbuka untuk sanak saudara sebelah ummi. Menu kami pada hari ini ialah mee kari dan mee sup. Masakan ummi memang tiada tandingannya. Aku makan banyak lagi, tak kisahlah. Selagi punya selera, jangan takut untuk makan!


Sunday, September 06, 2009

Sambutan Ulang Tahun Kali Kedua




Hadiah daripada Cikza



Assalamualaikum..

Hari ini merupakan sambutan kali kedua ulangtahun yang ke-20 buat aku dan kembar. Alhamdulillah, terima kasih yang tak terhingga buat Achik dan Cikza yang sudi meraikan kami di sini serta memberi hadiah yang sangat comel itu. Kenangan yang terlakar ini takkan terpadam bersama arus masa. Kami benar-benar bahagia!

Indahnya Ramadhan Bersama Keluarga

Assalamualaikum..

Aku sering terkenangkan Irfan yang sudah lama tak ku temui. Makin lama rindu dipendam, makin membara api kerinduan ini. Lalu aku membuat keputusan untuk ke rumah bapa saudara, Achik.

Aku mencari akal untuk mencari pengangkutan ke Putrajaya. Mahu meminta Achik ambil di asrama, aku segan. Segan kerana sudah banyak kali menyusahkan Achik. Kalau mahu pulang sendirian, aku tak mampu. Bandar Kuala Lumpur masih baru padaku.

Selagi ada rezeki, takkan ia hilang ke mana. Mujur ada Wahida yang sudi pulang bersama. Oleh sebab aku tiada kelas pada hari Jumaat, aku dan Wahida merancang untuk pulang pada hari itu saja.Kami memulakan perjalanan dari asrama ke SOGO. Seterusnya, aku menaiki komuter di Bank Negara terus ke Serdang dan kami berpecah di Serdang. Aku mengambil bas bernombor 42 yang menjuju ke Putrajaya Sentral dan Wahida mengambil bas lain. Aku dapat berjimat dengan cara ini kerana tambang perjalanan hanya RM5.80!

Opah, Opah Cik dan adik bongsuku mampir ke rumah Achik semalam atas urusan keluarga. Kedatangan mereka ke sini dihantar oleh bapa saudara, Chu sekeluarga. Aku bukan saja dapat bertemu Irfan, malah dapat bermain bersama sepupu yang masih bayi juga, Balqis. Hari itu benar-benar membuatkan aku teruja! Hati aku pun berbunga.

Tak putus-putus aku bersyukur sepanjang berada di sini. Aku dapat berbuka puasa bersama ahli keluarga. Kemeriahan itu tiada tandingannya. Bagai tertunai hajat aku mahu makan nasi ayam dan laksa. Keinginan yang aku pendam selama berada di asrama.

Aku bahagia dapat menghabiskan masa dengan Irfan dan Alieya. Wajah mereka yang mulus sentiasa indah di mata. Alieya sudah ada perkembangan positif. Malah tak pernah lagi meninggalkan puasa tanpa alasan munasabah.

Irfan pula sudah pandai berjalan. Setiap langkah yang tercipta terlalu indah. Irfan juga gemar ketawa dan aku terpukau mendengar gelak tawanya yang manja serta Irfan gemar berkata-kata. Barangkali Irfan bakal menjadi kanak-kanak yang petah berbicara.

Esok, aku perlu bergegas ke asrama. Mujur kelas bermula pada 11.45am. Terpaksa sampai ke asrama sebelum pukul 10am atau aku akan ketinggalan bas yang disediakan oleh pihak asrama. Achik dan Cikza, terima kasih daun keladi. Ada juga kesempatan menumpang kasih di sini, terubat juga kerinduan pada keluarga yang jauh di mata.

Saturday, September 05, 2009

Model Almari Pakaian


Kita mulakan satu, dua, tiga!

Mencuba untuk bangun sendiri

Berjaya!

Posing sikit
dan lagi.. oh sempurna!

Thursday, September 03, 2009

Semester Satu

Assalamualaikum..

Aku sudah membuat pendaftaran subjek secara online untuk semester dua semalam. Sengaja aku semak semula subjek bagi semester satu. Alangkah terkejutnya aku kerana hanya ada satu subjek yang didaftarkan oleh pihak kolej untuk semester satu!

Aku mula panik. Mengapa pula ada satu subjek sahaja? Sedangkan pada jadual tercatat dua subjek yang aku perlu ambil. Teman sekelas semuanya tercatat dua subjek di dalam online system. Aku bertambah gelisah. Bimbang aku perlu mengambil subjek itu pada semester dua.

Aku membuat keputusan untuk ke ACAD untuk mendapatkan kepastian.

"Adik tak perlu ambil Intermediate English I. Masuk semester dua, adik terus ambil Intermediate English II."

Aku benar-benar terkejut mendengarnya. Kata staf ACAD itu, pemilihan dibuat berdasarkan ujian Bahasa Inggeris yang diambil oleh setiap pelajar baru. Apa yang aku tahu, kalau penguasaan Bahasa Inggeris masih lemah, pelajar itu perlu mengambil English for Beginners. Selebihnya, akan masuk ke dalam kelas Intermediate English I.. dan bagi kes aku, baru pertama kali aku mendengarnya!

Ini bermakna, aku hanya perlu mengambil subjek Introduction to History and Philosophy of Early Childhood Education bagi semester satu. Aku sudah memulakan kelas kedua dengan Madam Puteri. Alhamdulillah, aku senang dengan cara penyampaian pensyarah itu. Bilangan pelajar kelas aku hanya seramai 11 orang, majoritinya pelajar perempuan dan hanya ada seorang pelajar lelaki.

Tadi, aku mengambil study plan. Setelah menelitinya, aku membuat keputusan untuk menukar subjek yang telah didaftarkan bagi semester dua. Menurut senior, subjek yang aku pilih bersama rakan sekelas sangat mencabar. Mereka tak menggalakkan kami mengambil subjek yang terlalu susah bagi semester dua. Jadi, aku ikut sahaja study plan yang pihak kolej sediakan.

Memandangkan pelajar ambilan 9 Ogos antara kelompok pelajar yang mendaftar lewat, kelas yang kosong tak banyak. Pening juga mahu menyusun jadual. Tambahan lagi aku mahu mendaftar bersama lagi tiga orang rakan sekelas. Memang benar kata guru matematik aku dulu. Waktu belajar mesti ada empat sekawan. Aku tak pernah lupakan kata-kata itu.

Esok aku tiada kelas. Mahu ke Putrajaya nan Indah. Rindu Irfan.

Wednesday, September 02, 2009

Nak Balik Perlu Tahu Jalan

Assalamualaikum..

Rindu kembali bertaut. Aku selalu terkenangkan Irfan yang dikatakan "Paling Termanja" oleh pengasuhnya di naseri. Kata hati mendesak aku pulang ke rumah bapa saudara. Namun, aku masih belum pernah menaiki LRT dan ERL berseorangan. Takut salah naik. Mujur aku ada seorang teman yang tinggal di Serdang. Serdang tidak jauh dari Putrajaya. Jadi, kami boleh pulang bersama.

Hari ini, aku baru memulakan semester satu. Hanya dua subjek pihak kolej daftarkan untuk semester ini. Aku juga sudah mendaftar kursus untuk semester kedua pada hari ini. Tidak sempat mengambil study plan. Pening juga menyusun jadual sendiri. Aku memilih kelas pagi sepenuhnya pada hari Isnin dan Khamis. Pada hari Selasa dan Khamis, aku memilih kelas petang. Aku hanya peruntukkan usrah pada hari Jumaat.

Aku harap jadual yang telah aku susun tidak membebankan. Mohon Allah permudahkan urusan Hamba-Nya ini.

Monday, August 31, 2009

Ulang Tahun ke-20

Assalamualaikum..

Tanggal 31, bulan 8, 1989..

Pada pagi sambutan kemerdekaan ke-32, Ummi sudah ada tanda-tanda mahu bersalin. Lalu Ummi dimasukkan ke Ipoh Specialist Centre. Pada pukul 2.57pm lahirlah seorang bayi perempuan yang comel. Namun, kesakitan yang Ummi rasai belum lagi berakhir. Ummi terpaksa bertarung nyawa demi seorang lagi bayinya. Bayi itu dibetulkan kedudukannya terlebih dahulu. Kira-kira pukul 3.05pm, bayi perempuan kedua itu selamat dilahirkan walaupun kelahiran itu merupakan kelahiran songsang.. dan bayi itu adalah aku sendiri!

Itulah serba sedikit kisah kelahiranku. Ku panjatkan syukur ke hadrat Ilahi yang memberi kesempatan untuk aku bernafas di bumi Maha Pencipta ini. Terima kasih yang tak terhingga kepada Ummi yang telah menyabung nyawa demi melahirkanku. Akan ku balas jasamu Ummi.

Tanggal 31, bulan 8, 2009..

Aku dan kakak kembarku, Aishah sudah menginjak dewasa. Kami sudah memasuki dunia wanita dua puluh-an. Perasaan sedih menyelubungi diri. Entah mengapa perlu wujud perasaan itu. Adakah aku belum bersedia berubah menjadi lebih matang? Aku sendiri tidak pasti.

Sambutan ulang tahun kami pada tahun ini ala kadar sahaja. Memandangkan aku dan Ummi sudah menolak pelawaan opah yang mahu kami berbuka puasa di rumahnya semalam, kami membuat keputusan untuk menyambut ulang tahun di rumah opah sahaja. Menyambut ulang tahun pada bulan Ramadhan tentu sekali berbeza. Kami hanya makan lauk berbuka puasa. Tiada Pizza Hut. Sebiji kek sudah memadai. Alhamdulillah, air tangan opah menyebabkan berkali-kali aku menambah nasi.

Sekalung penghargaan buat teman-teman yang masih ingat hari istimewa saya. Kalian benar-benar membuatkan hati saya berbunga menerima SMS ucapan selamat itu.

Kak Yang, terima kasih atas kesudian membelikan hadiah buat Kakde. Kakde akan jaga dengan baik pemberian Kak Yang itu. Adik bongsu kakak, terima kasih bersusah payah menghias kad ucapan untuk kakak. Terlalu indah sebuah kad itu. Kakak sayang Yah juga!

Soalan Kak Farah tadi, "Fairuz nak hadiah apa?" Jawapan Fairuz, "Suami yang soleh" Hanya gurauan nakal. Aku belum bersedia bersuami pada usia 20 tahun.




Kad ucapan daripada adik dan Jabatan Penerangan Malaysia


Hadiah daripada Kak Yang

P/S: Anak Merdeka yang lahir pada 31 Ogos dan Anak Malaysia di Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan yang lahir pada 16 September boleh menjadi ahli Kelab Anak Merdeka. Sila layari http://anakmerdeka.penerangan.gov.my/anakmerdeka untuk keterangan lanjut.

Salam Merdeka,
Kakde Chula

Sunday, August 30, 2009

Selagi Masih Ada Ihsan

Assalamualaikum..

Ayah sudah pulang ke Pulau Pinang. Sempat juga aku pulang ke rumah sebelum ayah berangkat ke sana. Seperti biasa, ayah akan menyempurnakan kerja sampingannya sebelum pulang. Ayah mengajak Ummi menemaninya ke Slim River. Tergerak hati hati ingin ikut serta ke sana. Sengaja ingin melihat dunia setelah berkurung selama dua minggu di asrama.

Usai kerja ayah, kami menuju ke Pusat Penjagaan Haiwan di Tambun. Kami melawat kucing-kucing yang dihantar ke sana dua minggu lalu. Hanya ada 9 ekor daripada 10 ekor anak kucing yang kami pelihara. Hairan, mana pergi yang satu lagi? Aku bertanyakan hal itu kepada Ummi. Ummi beritahu, salah seorang daripada teman abangku sudah mengambilnya. Patutlah tak ada kucing yang ala-ala albino tu.

Ku lihat anak-anak kucing tidak lagi segemuk dulu. Kata penjaga kucing itu, mereka gemuk kerana ada cacing di dalam perut. Kehadiran cacing itu jugalah yang menyebabkan kucing kerap minta makan. Kalian memang bagaikan hantu. Tak pernah kenyang!

Setelah diberikan ubat cacing, kesihatan anak-anak kucing bertambah baik. Mereka tidak lagi menghadapi masalah cirit-birit dan badan semakin kurus. Asalkan mereka dijaga dengan baik oleh penjaga yang mendukung amanah. Kami akan terus melawat kalian dari semasa ke semasa!


Dua beradik dipisahkan oleh dua sangkar kucing


Anak-anak mereka

Wednesday, August 26, 2009

Sukma Rindu Ramadhan

Assalamualaikum..

Kelmarin..
Hari ini..
Esok..

Ada satu wajah yang amat ku rindui..
UMMI

Jumaat ini, aku akan pulang ke desa tercinta. Bertanggak dulu di rumah Kak Na esok. Terima kasih Kak Na dan Abang Nazeri! Tanpa kalian, Fairuz tak tahu macam mana nak pulang ke Ipoh.

Aku merindui suasana bulan Ramadhan di rumah. Indahnya bersahur bersama keluarga, aku terkenang saat didukung oleh Ummi untuk bersahur sewaktu masih kecil. Maklumlah, liat bangun sahur. Meriahnya berbuka puasa bersama keluarga dan.. aku juga rindu ke Bazar Ramadhan di Ipoh!

Kepingin bersolat tarawih di Masjid Sultan Azlan Shah. Tentu sekali aku takkan lepaskan peluang bersolat tarawih di sana setelah pulang ke Ipoh nanti.

Hanya lima hari saja tinggal menjelang ulang tahun ke-20 buatku dan kakak kembarku. Hadiah belum sempat ku belikan buatnya. Tentunya yang indah-indah saja buatmu, Kak Yang. Pertama kalinya kami terpaksa potong kek pada waktu malam. Dapatkah makan pizza seperti tahun lepas? Tinggal satu persoalan..

Sukma Rindu,
Kakde Chula

Sunday, August 23, 2009

Seminggu di IIC

Assalamualaikum..

14 Ogos 2009
Achik, Cikza, Kak Yang, Mak Yang, Alieya dan Irfan menghantar aku ke asrama. Pada mulanya, aku sudah menempah bilik yang berhawa dingin, tapi setelah meninjau keadaan bilik itu aku mengubah fikiran. Akhirnya, aku membuat keputusan untuk menginap di apartment saja. Tingkat enam pun aku tak kisah. Rumah aku ada dua bilik. Satu bilik memuatkan empat orang penghuni. Aku lebih selesa tinggal di apartment daripada bilik berhawa dingin yang aku lihat bagai tak cukup udara nak bernafas. Aku terpaksa menumpang tidur di rumah jiran sebelah kerana teman serumah belum pulang ke asrama. Sebenarnya, aku mahu tidur di bilik aku sendiri tapi memikirkan pekerja am di sini membuka pintu rumah menggunakan kunci pendua petang tadi, aku tebalkan muka ke rumah sebelah.

Aku sempat menjaga Irfan di masjid

Irfan yang sudah pandai duduk bersandar di sini
Mata Alieya sudah sembuh
Pemandangan dari bilik

Pemandangan dari beranda

Hari-hari menjenguk KLCC, entah bila dapat ke sana


15 Ogos 2009
Teman serumah sudah pulang. Bermula dengan Wanie..seterusnya Yana, A'aishah, Ila, Ecah, Quya dan Deqya. Empat orang daripada mereka mengambil jurusan yang sama denganku. Aku teruja setelah mendapat tahu tentang hal itu. Alhamdulillah, teman serumahku baik belaka. Aku lihat mereka sangat akrab seperti satu keluarga. Walaupun, aku agak malu-malu dengan mereka, aku rasa senang hati menjadi ahli keluarga baru dalam rumah ini.

16 Ogos 2009
Aku memulakan hari pertama sebagai pelajar IIC. Aku terpaksa bersendirian tanpa teman serumah. Mereka tiada kelas seawal aku, tapi ia bukanlah masalah besar bagiku. Bas yang disediakan adalah percuma dan sentiasa ada mengikut masa yang ditetapkan. Pada pukul 8.30 pagi, aku menjalani ujian Bahasa Inggeris di dewan utama. Seterusnya, mendengar taklimat yang diberikan. Pada hari ini, aku bertemu dengan Saza. Teman lama yang banyak membantu aku mengenali IIC. Aku kebosanan pada waktu malam kerana tiada tugasan yang diberikan oleh pensyarah, sedangkan teman serumah sibuk belajar.

17 Ogos 2009
Kelas sudah bermula. Kelas pertama dengan Madam Hanim. Aku hanya belajar asas Matematik, belajar pecahan macam sekolah rendah dulu. Seterusnya, kelas Bahasa Inggeris dengan Mr Khairunnizam. Tuah pada hari ini, aku berjumpa dengan Wafa dan Nadhrah.

18 Ogos 2009
Aku bertemu dengan Farah Wahida sewaktu menunggu bas. Aku tak menyangka agak ramai rakan lama di sini. Kelas berlangsung seperti hari sebelumnya. Masih lagi belajar asas Matematik, tapi hari ini aku memerah otak kerana terpaksa membuat essay. Agak payah mencairkan otak yang membeku selama tujuh bulan, tapi aku tetap mencuba menyiapkannya sampai habis. Pada waktu malam, aku ke kolej kerana mengikuti program menyambut kedatangan Ramadhan anjuran GPMS cawangan IIC.

19 ogos 2009
Seperti biasa, aku mengikuti kelas Matematik dan Bahasa Inggeris. Selepas itu, aku meninjau rumah sewa bersama rakan-rakan sekelas. Aku membatalkan niat berpindah ke rumah sewa.

20 -23 Ogos 2009
Dapatlah aku berehat dua tiga hari ini. Namun, aku perlu menyiapkan tugasanku. Berdebar menanti hari esok. Ya Allah, permudahkanlah urusanku. Amin.

Wednesday, August 19, 2009

Salam Ramadhan

Assalamualaikum..

Hari-hari yang aku lalui di IIC sungguh indah. Sudah empat hari aku menikmati kehidupan sebagai seorang pelajar. Dunia yang penuh suka duka. Dunia yang mengajar erti kesabaran,juga dunia yang mengajar aku berdiri di atas kaki sendiri.

Di sini aku bertemu kembali ukhwah yang telah terpisah. Pada hari pertama, aku berjumpa dengan Sazaratul dan Farah Wahidah yang dahulunya kami menuntut ilmu di sekolah yang sama iaitu SM Teknik Kuala Kangsar. Walaupun dulu, kami bukanlah sekelas. Tapi kini kami mengambil kursus yang sama.

Tadi, aku berkesempatan berjumpa dengan teman-teman sekolah rendah. Aku sungguh tak mengenali sepasang mata milik Wafa yang ku kenali sejak di Sek Ren Islam Al-Ummah. Wafa sudah memakai niqab, subhanallah. Aku juga berjumpa dengan Nadrah Baharom di sana. Nadrah juga mengambil kursus yang sama denganku. Sungguh aku tak sangka, ramai juga teman lama yang belajar di sini.

Ramadhan kian menjelang. Aku tinggal menghitung hari saja. Syukur masjid dekat saja dengan asrama walaupun perlu menyeberang jalan, nampaknya Masjid Jamek Saad Bin Abi Waqas bakal ku imarahkan insya-Allah.

Aku perlu ke kolej untuk mengikuti program menyambut kedatangan Ramadhan anjuran GPMS cawangan IIC sebentar lagi. Makan percuma, alhamdulillah. Berhenti di sini.


Friday, August 14, 2009

Manja Bee



Harap maaf, baju bee untuk kanak-kanak 8 tahun tiada di pasaran



Sunday, August 09, 2009

Perlumbaan Kedua



Assalamualaikum..

Aku sudah mendaftar di IIC. Berikutan penularan kes H1N1, para pelajar dan ahli keluarga yang hadir diberikan topeng muka. Ketika di dalam lif, aku lihat mukaku yang bertopeng. Kelihatan seperti memakai purdah! Aku kehairanan melihat lif IIC yang sangat luas dan ada cermin, aku terasa seperti jakun pula.

5 Ogos 2009

Segalanya bermula ketika menemani ummi di hospital, aku membaca surat khabar Harian Metro yang aku beli di kedai tingkat 1. Aku menyelak helaian akhbar itu satu persatu. Mata kanan dan kiri ligat menangkap setiap patah perkataan. Kemudian, aku ternampak iklan IIC di sudut bawah.

-Eh, IIC lah!
-Ada pengambilan pelajar pada 9 Ogos dan 30 Ogos

Ketika keputusan STPM belum diumumkan, aku pernah berniat belajar di IIC. Waktu itu, aku mencari maklumat tentang jurusan Pendidikan Awal Kanak-Kanak di enjin pencarian google. Aku dapat maklumat, ada 3 IPT yang menawarkan jurusan ini iaitu UNITAR, UNISEL dan IIC. Aku mula membuat survey, antara ketiga-tiga IPT ini hanya IIC yang menyediakan program didikan cara Islam.

"Ummi, kalau Kakde masuk IIC okay tak? Kakde pilih jurusan DCE". Aku minta pandangan ummi. "Kakde nak daftar 30 haribulan ni. Kalau ambil pentadbiran awam di UITM, risau nanti susah nak cari kerja. Lagipun, Kakde memang sukakan budak-budak. Jadi, jurusan DCE ni lebih dekat dengan diri Kakde".

"Kalau kakak minat jurusan tu, bolehlah cuba", kata ummi.

"Ummi boleh tolong telefon nombor yang ada kat sini?" Aku memang anak manja. Hendak telefon orang yang tak dikenali saja malu.

Aku keluar sebentar. Laju melangkah ke kedai tingkat 1. Tujuan aku satu, ingin mengakses internet. Aku melayari laman web IIC, diselangi dunia penulisan blog.

"Kakak, ummi cuba nombor telefon yang perempuan tu, tapi tak dapat. Yang dapat ummi hubungi, En Saleh. Kata En. Saleh, elok kakak masuk 9 Ogos. Kalau masuk awal, boleh dapat loan PTPTN tahun ni. Kalau 30 Ogos, tahun depan baru dapat loan".

Hati yang ria bertukar suram mengenangkan aku yang terpaksa pergi dalam masa terdekat. Aku merasakan aku belum bersedia untuk meninggalkan ummi. Ummi juga masih belum pulih dari sakitnya.

Aku sampaikan hasrat pada ayah. Pada mulanya, ayah menolak. Ayah mahu aku belajar di UITM saja. Aku cuba memujuk ayah, tapi ayah tak masih tak beri kata putus". Ayah kena balik Pulau Pinang esok. Siapa nak hantar nanti". Aku hampir putus asa. Kepala sudah rasa berat.

6 Ogos 2009

Keesokan harinya, ayah mula mengubah fikiran. Ayah mengizinkan aku belajar di IIC. Aku bersyukur ada rezeki untuk belajar di IIC.

7 Ogos 2009

Pada hari Jumaat, aku membuka akaun di Bank Islam. Ummi masih belum sihat. Ayah pula sudah kembali bekerja di Pulau Pinang. Mujur aku ada Aishah, kakak kembar yang baik hati, sanggup berkorban masa menemani aku. Proses pembukaan akaun Bank Islam lebih rumit daripada pembukaan akaun Maybank. Terlalu banyak butir-butir diri yang perlu diisi dan disebabkan debaran hati mengenangkan hari pendaftaran yang kian menjelma, banyak kesilapan aku buat. Terutama sekali kesilapan pada alamat. Sudahlah aku masih baru berpindah rumah.

Syukur aku berurusan dengan pegawai bank yang berhati mulia. Sanggup menguruskan aku walaupun jarum jam menunjukkan hampir pukul 5pm dan pegawai bank di sebelah sudah mengira wang! Masih tampak tenang walaupun aku telah menyebabkan dia terpaksa pulang lewat. Aku sungguh terharu meskipun tersimpan rasa bersalah.

Usai urusan bank, kami membeli tiket bas. Kami terserempak dengan Hanim, satu-satunya sahabat terbaik yang saya ada. Hanim tetap seorang gadis sopan dan lemah lembut seperti yang ku kenali sejak 6 tahun lalu. Sudah terlalu lama tak bersua muka tentunya aku gembira dengan pertemuan yang tak disengajakan itu. Sempat juga ku khabarkan berita aku menyambung pelajaran di IIC.

Pada sebelah malam, kami ke kampung pula. Mahu meminta pengesahan salinan sijil daripada Ayah Cho, bapa saudaraku yang bekerja sebagai Pesuruhjaya Sumpah. Malangnya, Ayah Cho kata Pesuruhjaya Sumpah tak dibenarkan mengesahkan sijil. Aku pulang dengan hampa. Aku keletihan sehari suntuk menguruskan pelbagai hal penting.

8 Ogos 2009

Pada pagi Sabtu, ummi menghantar aku dan Aishah ke stesen bas ekspress. Sayu menyelubungi diri. Aku terkenangkan wajah ummi ketika aku mahu melangkah keluar dari kereta sebelum wajah itu hilang dari pandangan. Aku tak dapat menahan diri. Air mata tumpah dan mengalir deras. Aku terus membiarkan fikiranku melayang entah ke mana dan akhirnya aku tertidur seketika.

Achik dan Mak Yang menjemput kami di tol Jalan Duta. Kepenatan masih lagi bersisa. Barang keperluan asrama masih belum dibeli. Pada pukul 6pm, Mak Yang, Aishah dan aku bertolak ke Alamanda untuk membeli barang. Aku gagahkan diri menyorong troli, mencari barang-barang yang sudah disenaraikan. Setelah selesai memilih, aku ke kaunter pembayaran. Pembelian barang melebihi anggaran. Hal ni terjadi sebab ada sesetengah barang yang aku terlepas pandang ketika menulis senarai barang keperluan. Aku membuat pembayaran. Pada waktu itu, aku sudah mula susah hati dan terasa seperti mahu menangis. Terpaksa minta duit pada ayah lagi.

9 Ogos 2009

Selepas bersarapan, Achik, Mak Yang, Aishah dan Alieya menemani aku mendaftar di IIC. Sebelum itu, kami ke Carrefour kerana menukar sterika yang berbunyi ketika digunakan. Baru ku tahu, polisi Carrefour yang membenarkan pengguna mendapatkan wang kembali dengan memulangkan barang. Achik ke pejabat untuk mengesahkan salinan-salinan sijilku. Mujur Achik ialah seorang pegawai kerajaan kumpulan pengurusan dan profesional. Aku bersyukur Allah permudahkan urusanku. Dalam masa 3 hari saja semua urusan berjaya dilaksanakan. Alhamdulillah.

Pertama kali menjejakkan kaki di IIC, aku mula rasa selesa dengan persekitarannya. Pendaftaran berjalan dengan lancar, alhamdulillah. Yang tinggal hanya urusan asrama. Berikutan kes H1N1, IIC ditutup selama seminggu. Baru mendaftar, aku sudah diberi cuti. Kegembiraan mendapat cuti sempena kes H1N1 tidak wujud dalam diriku. Cuma aku bersyukur dapat membuat kad Bank Islam yang tertangguh akibat Bank Islam kehabisan kad ketika aku membuka akaun. Tak perlulah aku ke Bank Islam di UIA.



Renungan: Sekarang musim orang jatuh sakit. Keluarga bapa saudara di sini sakit mata. Adik saudaraku Danish, dimasukkan ke hospital kerana demam panas. Semoga mereka cepat sembuh dan aku memohon perlindungan Allah supaya aku, ibu bapa dan ahli keluarga dijauhkan daripada penyakit berbahaya.

Thursday, August 06, 2009

Dari Hospital ke Rumah

Assalamualaikum..

Rumah kembali ceria sekembalinya ummi dari hospital. Kalau diikutkan, ummi masih belum benar-benar sembuh. Mahu juga pulang kerana sudah bosan berlama di hospital. Kata ummi, dia kesunyian tanpa aku di wad. Aku cukup tersentuh mendengarnya. Kalau boleh aku memang mahu menemani ummi setiap waktu, tapi masa aku terbatas. Aku perlu bantu ummi menguruskan hal di rumah.

Aku berpuas hati dengan rawatan yang ummi terima di hospital. Setiap hari ummi diberi rawatan nebulizer, ummi diberi antibiotik dan rawatan fisioterapi. Tekanan darah dan kandungan glukosa dalam darah juga diperiksa beberapa kali sehari. Kini ummi lebih berhati-hati memilih minuman di rumah. Tiada lagi kopi susu.

Ummi masih perlu makan ubat. Ubat asma menyebabkan badan lemah dan rasa berdebar. Rasa menggeletar selepas ambil ubat itu. Aku harap ummi diberi cuti lebih lama lagi sehingga benar-benar sembuh.

Sekalung penghargaan buat Raihan yang sudi menziarahi ummi untuk kali kedua. Maaf sebab tak dapat berborak panjang di kafeteria, masa benar-benar memburu tika itu. Jutaan terima kasih buat kalian yang menyokong saya. Betapa berharganya kata-kata semangat kalian di saat hati makin rawan. Teman sejati sememangnya teman yang hadir di kala duka. Terima kasih semua!

..Betapa aku menghargai nikmat sihat

Sunday, August 02, 2009

Berkampung di Hospital

Assalamualaikum..

Aku jadi pulang ke rumah. Setelah dipujuk, ayah terbuka hati untuk membawa aku pulang bersama. Terima kasih ummi, Kak Yang dan Yah. Kalian berjaya mempengaruhi ayah dalam membuat keputusan. Ayah meminta Achik menghantarku ke hotel penginapan mereka. Tak sedap pula rasanya menyusahkan Achik menghantarku sebentar lagi, tapi, aku tiada pilihan lain. Alasan ayah dia tidak biasa dengan jalan di Selangor.

Ummi sudah merancang untuk masuk wad malam ini. Surat pengesahan daripada doktor PMC sudah diambil. Ummi diserang penyakit Bronkitis. Sudah lama penyakit ini tidak menyerang, kini kembali lagi. Ummi asyik batuk-batuk dan dada terasa penat.

Aku pasti ini disebabkan jangkitan kuman daripada 10 ekor anak kucing yang baru lahir dua bulan lalu. Kami sekeluarga buntu mencari pusat pelindungan haiwan (SPCA) yang benar-benar amanah dalam menjaga haiwan peliharaan yang dihantar. Ada suara yang mengatakan risiko menghantar kucing ke SPCA. Abang aku marah benar kalau kami menyuarakan hasrat mahu menghantar anak-anak kucing ke SPCA.

Aku harap kami berjumpa jalan keluar masalah ini. Kucing mendapat perlindungan di tempat lain. Aku mahu ummi kembali sihat. Ubat-batan dari klinik memang tak cukup kuat untuk melawan penyakit ummi. Kebiasaannya, sesudah empat hari dirawat di hospital barulah penyakit itu reda.

Semoga ummi cepat sembuh dengan izin-Nya.

p/s: Siapa nak kucing, angkat tangan!

Saturday, August 01, 2009

1 Ogos untuk Siapa?

Assalamualaikum..

"Selamat Hari Persahabatan!" Aku masih ingat lagi pertama kali aku menerima ucapan itu ketika di tingkatan dua. Ucapan itu sungguh aneh bagiku. Baru ku tahu ada hari istimewa untuk menghargai rakan-rakan.

Setiap 1 Ogos, aku akan menerima ucapan itu. Ketika di SMTKK, aku pernah berbalas kertas ucapan dengan Misae dan Hanim. Masing-masing mencari kata-kata indah untuk diabadikan. Kami menulis dengan penuh kesungguhan. Kertas kecil itu masih tersimpan rapi hingga kini. Ketika di ACS pula aku berbalas hadiah dengan Raihan. Ucapan seperti saban tahun juga masih diteruskan.

Pada tahun ini, 1 Ogos bukanlah sekadar meraikan sahabat. Kali ini, ayahku menerima anugerah atas perkhidmatannya selama 30 tahun. 30 tahun lamanya ayahku berkhidmat dengan TNB dan ayahku bakal bersara pada hujung tahun ini. Untung ayah lahir pada bulan Disember, jadi dapatlah kerja sampai hujung tahun.

Banyak juga kelebihan berkhidmat dengan TNB. Tambahan lagi, pekerja yang memulakan perkhidmatan sebelum TNB diswastakan yang sebelum ini bernama LLN. Aku sebagai anak pekerja bersyukur dengan kelebihan itu.

Semalam aku menanti ketibaan ummi, ayah dan adik bongsuku. Aku sangkakan mereka mahu menginap di rumah bapa saudara. Adik aku beritahu mereka sudah tiba di hotel. Lalu aku menelefon ummi. Aku minta ummi dan ayah mengambilku selepas mengambil kembarku di Unisel.

"Mana boleh ambil Fairuz, barang Aishah banyak. Dalam kereta ayah pun dah ada banyak barang", kata ayah. Patah hatiku. Aku sudah merancang mahu pulang ke rumah bersama mereka. Sebab itulah aku tak ikut Mak Yang pulang semalam. Mak Yang, Fairuz tak dapat tidur malam tanpa Mak Yang. Entah kenapa aku seperti diserang insomnia!

Kata ummi, ummi mahu dirawat di hospital minggu depan. Baru-baru ini, aku telefon ummi. Katanya, sakit kepala. Mungkin tekanan darah naik. Mana tidaknya, ummi makan rempeyek. Aku sempat berpesan supaya ummi meninggalkan makanan rapu.

Memandangkan ummi mahu ditempatkan di hospital, aku mahu pulang. Nanti aku akan cuba memujuk ayah supaya mengambilku di sini. Kalau terpaksa bersesak dalam kereta juga aku sanggup. Nak buat macam mana, kami mahu kereta MPV, tapi kereta sedan juga jadi pilihan ayah.

Hari ini baru 1 Ogos. Lagi 30 puluh hari, aku akan meningkat tua. Tak sabar rasanya nak jadi gadis 20 tahun. Bukan lagi gadis belasan tahun.

Thursday, July 30, 2009

Mimpi Si Mamai

Assalamualaikum..

Tadi aku bermimpi. Mimpi itu bukanlah mimpi yang indah, tapi mimpi itu sangat melucukan. Sedang aku enak dibuai mimpi itu, tiba-tiba aku terjaga dan.. ketawa aku berderai! Tak bisa ku tahan!

Mak yang yang sibuk menyiapkan kerjanya terpinga-pinga melihat aku yang baru terjaga ini ketawa berdekah-dekah.

"Kenapa gelak ni?" Walaupun dalam keadaan mamai, aku masih dapat menangkap butir bicara Mak Yang.

"Kelakar, Mak Yang". Diselangi gelak tawaku.

"Kenapa?" Mak Yang bertanya lagi.

Aku terus ketawa, tak pula aku jawab pertanyaan Mak Yang. Aku kembali meletakkan kepala di atas bantal.

Kemudian aku menyambung tidur sehingga Mak Yang mengejutkan aku untuk bersahur. Sehari dua ini aku sungguh liat bangun sahur. Mujur Mak Yang banyak membantu. Kalau aku sambung tidur, Mak Yang panggil namaku sampai aku benar-benar bangun. Kalau tak sudah tentu aku lemah longlai sepanjang hari.

Usai bersahur, aku kembali ke bilik.

"Mak Yang, tadi Fairuz ada gelak sorang-sorang ke?"

"Ada, lepas bangun tidur tadi". Tiba-tiba aku termalu sendiri. Perasaan malu itu sama seperti anda menerima mesej daripada saya ketika sedang menghadiri kuliah dan waktu itu anda terlupa nak silentkan handphone..

-Astaghfirullahal azim!
-Itulah, siapa suruh gelak tak ingat dunia tadi.

Jangan salahkanku. Ini cerita orang yang sedang mamai. Aku sendiri sudah lupa apa yang lucu sangat mimpi itu.

Semalam aku benar-benar dapat mimpi yang indah, aku berjumpa dengan Wardina Safiyyah dan anak-anaknya. Dapat pula bertegur dengan Wardina dan mencium Azra yang comel.

Tuesday, July 28, 2009

27 Julai: Setahun Kemudian





Assalamualaikum..

Ceritera bermula pada tahun 2008, pada 27 Julai. Tersebutlah kisah kelahiran seorang lelaki yang kini bertahta di hatiku. Ku fikir, ibunya lebih layak menceritakan detik yang indah itu. Kenangan itu terpahat di sini.

Aku seorang yang tak percaya pada cinta pandang pertama. Pada awal pertemuan kami, aku tidak tertarik kepadanya. Waktu itu, kami bertemu di rumah opah pada hari lebaran. Aku hanya memberi satu ciuman tanda kasih seorang kakak kepada sepupu yang baru menjengah dunia.

Pertemuan kedua di rumah orang tuanya. Seperti dulu, aku tidak berminat padanya. Mungkin kerana aku lebih menyukai bayi perempuan. Bagiku, bayi lelaki terlalu lasak dan tidak manja. Mungkin juga aku sudah terbiasa melayan anak-anak buah perempuan yang manja.

Tetapi setelah aku menjalani hari-hari bersamanya, aku dapat merasai aku sudah jatuh cinta padanya. Bila terpaksa berpisah, aku digamit rindu yang mendalam. Tidak dapat ku lupakan raut wajahnya yang comel, senyuman manis yang terukir bila kami bercanda, gelak tawa yang senantiasa menghiburkan dan keletahnya yang mencuit hati. Aku tidak kisah jika dia terlena sedang aku mendukungnya. Malah aku sanggup biarkan dia tidur dalam dakapanku supaya dia terus lena. Tiada buaian disediakan untuknya, demi keselamatannya. Jadi, dia mudah terlena bila didukung.

Dari dulu lagi, aku sentiasa menanti perkembangan dia. Bermula dengan kebolehan meniarap, menjulur, tumbuhnya gigi, permulaan makan, kebolehan duduk dan merangkak. Hanya dengan bantuan enam batang gigi susu, dia sudah boleh makan nasi dan dia gemar nasi yang berkuah banjir. Ku lihat dua gigi atasnya seperti jagung, dan aku sangat geram pada gigi itu! Gigi itu juga yang galak menggigit muka, bahu, lengan dan kaki penghuni rumah ini. Jeritan kami terus bergema.

Dia juga sudah boleh merangkak seperti bayi yang lain, cuma dia kurang yakin untuk berdiri dengan sendiri. Aku tidak sabar melihat dia pandai berjalan. Semoga cepat pandai jalan, sayangku!

Muhammad Irfan Hakim, kakde sangat menyayangimu. Semoga jadi anak yang soleh, semoga akalmu sebijak namamu.


Monday, July 27, 2009

Sambutan Hari Lahir Irfan dan Alieya

Assalamualaikum..

Hari ini, 27 Julai 2009 genaplah umur Irfan setahun. Selamat hari lahir sayang! Aku suka melihat perkembangan Irfan. Ku lihat Irfan semakin tinggi. Berat badan Irfan semakin bertambah. Kadangkala tak tertahan juga kalau Irfan asyik mahu didukung. Tapi, demi Irfan aku rela. Aku sanggup ke hulu ke hilir dengan Irfan. Kami merangkak dan berkejar-kejaran di ruang tamu.

Aku sangat menyayangi Irfan. Keletahnya benar-benar membuat aku bahagia. Irfan sugguh teruja dengan enam batang giginya sudah tersergam indah. Enam batang giginya itulah yang menggigit aku dan ahli keluarga yang lain. Mungkin mahu menguji kekuatan giginya. Mungkin juga mengekspresikan kemanjaan dengan cara sebegitu.


Pada hari Jumaat, Ummi dan ayah bermalam di sini. Meraka mahu menyertai ekspo anjuran HPA di Serdang.. dan Ummi membawa hadiah istimewa buat Irfan dan Alieya. Irfan nampak berminat dengan hadiah itu.


Sebenarnya, aku sendiri punya rasa ingin tahu apakah hadiah yang Ummi beri.. dan hadiah itu dibuka. Tadaaa.. aku pasti Irfan akan menyukainya.


Sekitar majlis sambutan ulang tahun Irfan yang pertama dan ulang tahun Alieya yang ke-8.






Alieya dan rakan-rakan

Jajan yang saya bungkus bersama Alieya

Satu untuk Irfan dan satu untuk Alieya, comel bukan?


 
Spektrum Cinta © 2008 ♥ Template by B.K